Wednesday, 6 April 2016

Apa itu virus zika?

Kementerian Kesihatan memandang serius kenyataan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Margaret Chan, seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa, bahawa jangkitan virus Zika telah merebak dengan begitu pantas sekali di benua Amerika. Ini adalah kerana Kementerian berpandangan risiko bagi penularan jangkitan ini ke Malaysia adalah tinggi di atas sebab-sebab berikut:-
  1. Malaysia mempunyai nyamuk pembawa jangkitan ini iaitu nyamuk Aedes.
  2. Densiti nyamuk Aedes di negara ini adalah sangat tinggi. Ini berdasarkan kepada hasil pemeriksaan premis-premis di seluruh negara serta hakikat bahawa kita juga dibebani dengan masalah denggi yang disebarkan oleh nyamuk yang sama.
  3. Penyakit ini belum terdapat di Malaysia dan oleh itu rakyat Malaysia amnya tidak mempunyai imuniti terhadap penyakit ini. Oleh itu, jika virus ini dibawa masuk oleh rakyat Malaysia yang dijangkiti atau pelancong luar ke Malaysia, ia boleh merebak dengan pantas.
  4. Seperti denggi, tiada vaksin dan ubat khusus untuk membunuh virus ini. Oleh itu, orang yang dijangkiti akan menjadi sumber jangkitan kepada orang lain jika digigit oleh nyamuk Aedes.
  5. Terdapat laporan menyatakan sebahagian besar (terdapat anggaran mengatakan 80%) tidak menunjukkan gejala dijangkiti, yakni mereka boleh menjadi “pembawa yang sihat” dan menyebarkan virus ini tanpa disedari.
Walaupun penyakit ini hanya menyebabkan demam yang ringan serta bintik-bintik (rashes) di badan, sakit sendi dan tidak menyebabkan kematian, namun Kementerian memandangnya dengan serius sebab ia telah dikaitkan dengan kejadian “microcephaly” iaitu kelahiran bayi dengan kepala/otak mengecil dan juga dikaitkan dengan gejala saraf iaitu sindrom “Guillain-Barre”. “Microcephaly” merupakan kecacatan otak/kepala yang kekal yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa.

No comments:

Post a Comment