Alor Setar: Memiliki ‘bekalan’ kelebihan jaringan bukan alasan buat pemain skuad Helang Merah untuk terus mengekalkan momentum kemenangan apabila beraksi menentang Johor Darul Ta’zim (DT) pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.
Ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe berkata, anak buahnya diingatkan supaya melupakan kelebihan jaringan di Stadium Darul Aman pada saingan sebelum ini, tetapi perlu memberi tumpuan memburu kemenangan tambahan pula lawan beraksi di laman sendiri.
“Walaupun Kedah mempunyai ‘bekal’ 2-1 yang diperoleh sewaktu separuh akhir pertama pada 16 April lalu, pemain seharusnya meneruskan usaha mencipta kemenangan di tempat lawan dan mengelakkan sikap selesa dengan kelebihan jaringan.
“Kami sekadar memiliki kelebihan tipis yang tidak boleh dianggap selesa kerana suasana permainan di Larkin amat berbeza dari segi ketahanan mental dan tekanan yang perlu dihadapi pemain Kedah sekali gus menjadikan cabaran hebat,” katanya.
Kedah terpaksa menelan kepahitan pada aksi malam ini dengan penggantungan dua tonggak utama iaitu Liridon Krasniqi dan Amirul Hisyam Awang Kecik akibat menerima dua kad kuning pada perlawanan lalu sekali gus amat merisaukan penyokong Helang Merah yang amat mengharapkan sentuhan mereka.
“Ketiadaan mereka (Liridon dan Amirul Hisyam) yang mengemudi bahagian tengah memang dirasai dan meninggalkan kesan dalam perlawanan malam esok (ini).
“Tapi saya tetap yakin aksi pemain muda yang lain untuk menggalas tugas itu dengan berkesan seperti yang dirancang sebelum ini.” katanya.
No comments:
Post a Comment